BEKAS perdana menteri Najib Razak mahu kementerian pendidikan memantau projek solar hibrid di Sarawa yang dianugerahkan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, menurut saksi perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor di mahkamah hari ini.
Pasukan peguam Rosmah mengeluarkan surat dengan minit Najib yang dibacakan oleh saksi, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid.
Minit berkenaan menyatakan kementerian pendidikan perlu memantau projek solar hibrid yang dijalankan Jepak Holdings.
Projek berkenaan yang bernilai RM1.25 bilion dianugerahkan kepada Jepak Holdings untuk memasang sistem solar di 369 buah sekolah di Sarawak.
Mahdzir sebelum ini memberi keterangan beliau ditekan oleh Rosmah, Najib dan Pengarah Urusan Depak Holdings, Saidi Abang Samsudin untuk memberi kelulusan projek berkenaan.
Rosmah, 69 berdepan tiga pertuduhan iaitu meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada Saidi sebagai balasan untuk syarikat berkenaan mendapat projek dan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017.
Peguam bela hari ini turut mencadangkan bahawa Mahdzir dalam keterangan saksinya cuba meletakkan kesalahan kepada Najib berhubung projek berkenaan kerana beberapa kali mengulangi kenyataan ia arahan daripada perdana menteri.
Tinggalkan komen anda