Janji tetap janji, kata Dr Wan Azizah


shadow

DR Mahathir Mohamad perlu mengotakan janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata, pelantikan ke jawatan perdana menteri sememangnya memerlukan sokongan ahli Dewan tetapi pada masa sama, Dr Mahathir perlu melunaskan janjinya itu.

“Janji tetap janji, itu dalam perlembagaan memang (pelantikan perdana menteri) kena dapatkan sokongan majoriti,” kata Dr Wan Azizah ringkas ketika ditanya pemberita hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menjelaskan pihak paling berkuasa untuk menentukan jawatan perdana menteri adalah ahli Dewan Rakyat.

Perdana menteri menyatakan demikian bagi menjelaskan spekulasi berhubung peluang Anwar yang merupakan presiden PKR untuk menggantikannya di jawatan perdana menteri.

Dalam rakaman video wawancara dengan laman Malaya Pos, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa beliau akan menepati janji menyerahkan jawatan kepada Anwar.

“Kita berjanji kita kena pegang kepada janji. Kalaupun saya nak mungkir janji, saya cuma jadi perdana menteri kerana dapat sokongan daripada parti saya terutamanya daripada majoriti ahli dewan rakyat.

“Dengan itu baru saya dapat jadi perdana menteri. Kalau saya tidak hendak letak jawatan, tetapi majoriti dalam dewan rakyat tolak saya, saya jatuh.

“Itu cara demokrasi. Yang berkuasa sebenarnya adalah dewan rakyat. Ahli-ahlinya. Mereka boleh menentukan saya terus jadi perdana menteri ataupun tidak,” katanya.

Katanya, beliau akan kehilangan kuasa sekiranya ahli Dewan tidak menyokongnya.

Beliau menjelaskan senario itu berdasarkan kedudukannya sebagai perdana menterii yang tidak menguasai majoriti kerusi dalam Parlimen.

Isu tersebut turut berkaitan dengan dakwaan PAS dan Umno akan memberi sokongan kepadanya untuk terus menjadi perdana menteri sehingga akhir penggal.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sekiranya sokongan kepadanya sebagai perdana menteri akan bertambah.

PKR pada waktu ini menguasai 47 kerusi, paling banyak berbanding DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11) dalam PH.

Manakala Warisan, parti mesra PH yang diketuai Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menguasai 9 kerusi.

Tinggalkan komen anda