JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan menafikan kononnya seorang pesakit lelaki dikesan dijangkiti novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) sepertimana yang ditularkan dalam media sosial hari ini.
Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata apa yang sebenarnya berlaku adalah seorang pesakit lelaki daripada sebuah hospital swasta di Kota Baru, dihantar ke Hospital Tumpat untuk dirawat, tengah hari ini.
Beliau berkata pesakit lelaki berusia 50an itu dihantar ke hospital berkenaan selepas menunjukkan tanda jangkitan saluran pernafasan.
“Kes berkenaan bukan jangkitan koronavirus sebagaimana yang ditularkan di media sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, satu rakaman video tular dalam media sosial mendakwa seorang lelaki dikatakan mengalami demam selepas pulang dari Bangkok, Thailand dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Baru.
Berdasarkan rakaman video itu juga, beberapa kakitangan hospital yang memakai penutup hidung membawa masuk pesakit itu untuk dihantar ke Hospital Tumpat dari hospital swasta berkenaan.
Rata-rata netizen yang melihat rakaman berkenaan menyatakan kebimbangan dengan rakaman itu dan berharap Jabatan Kesihatan Kelantan mengambil langkah terbaik bagi mengatasinya.
Tinggalkan komen anda