Israel sekat eksport pertanian Palestin


shadow

ISRAEL hari ini mengenakan sekatan eksport ke atas produk pertanian Palestin, menimbulkan kecaman rakyat Palestin yang menyifatkannya sebagai “berbahaya” dalam perang perdagangan yang sudah masuk bulan kelima. 

“Bermula hari ini, semua eksport produk pertanian Palestin yang melalui Allenby tidak dibenarkan,” kata Cogat, unit tentera Israel yang menyelia aktiviti orang awam di jajahan Palestin, dalam satu kenyataan. 

Israel mengawal sempadan Allenby yang melintasi Jordan dan Tebing Barat, satu-satunya laluan membolehkan barangan Palestin untuk dipasarkan ke luar. 

Cogat berkata langkah itu adalah tindak balas kepada keputusan Palestin pada Oktober untuk berhenti mengimport lembu dari Israel. 

Boikot itu “secara dramatik menjejaskan penternak Israel”, kata Cogat. 

Palestin berkata sudah sampai masa mereka mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Israel. 

Sekatan eksport hari ini dibuat seminggu selepas Kementerian Pertahanan Israel menyekat semua import produk pertanian dari Tebing Barat ke Israel. 

Pihak Berkuasa Palestin kemudian mengharamkan semua import produk, minuman ringan dan air mineral Israel. 

Menteri Pertanian Palestin Reyad Attari memberithu AFP keputusan Israel menyekat semua barangan daripada melintasi Jambatan Allenby “melanggar semua perjanjian” kedua-dua pihak. 

“Ia tindakan yang berbahaya,” katanya. 

Cogat menegaskan yang keputusan itu akan dibatalkan “sebaik sahaja Pihak Berkuasa Palestin menarik balik keputusan yang menjejaskan perdagangan lembu dengan Israel dan pasaran bebas”.

Tinggalkan komen anda