GEORGETOWN: Kira-kira 0.4 hektar hutan di Bukit Bendera dilaporkan terbakar awal pagi tadi, menjadikannya kejadian kedua dalam minggu ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pulau Pinang, berkata 10 anggota Balai Bomba Paya Terubong dan anggota bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan pada jam 3.09 pagi.
“Tiada laluan khusus untuk ke lokasi terbabit dan anggota bomba terpaksa mendaki ke tempat berlakunya kebakaran.
“Kerja memadam kebakaran dilakukan menggunakan pemerap api dan ‘jet shooter’ dengan membuat ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.35 pagi.
Rabu lalu, lebih empat hektar hutan antara kawasan Bukit Bendera dan Kek Lok Si di sini terbakar, difahamkan berpunca daripada kerja pembakaran terbuka longgokan pokok yang ditebang di kawasan terbabit.
Tinggalkan komen anda