Dr M jumpa ketua-ketua parti politik, Azmin hari ini


shadow

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti politik di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara yang hadir termasuklah Abang Johari Openg (pengerusi GPS), Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu), Anwar Ibrahim (presiden PKR), Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP), Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

Selain itu, kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Dr Mahathir juga akan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang telah meninggalkan PKR.

Sementara esok, Dr Mahathir dijangka bertemu Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, kata kenyataan itu lagi.Iklan

Hari ini merupakan hari pertama Dr Mahathir masuk pejabat sebagai perdana menteri interim.

Terdahulu, dalam tulisan di blognya, tokoh wartawan A Kadir Jasin yang dilihat merupakan orang dekat Mahathir, berkata dengan berjumpa ketua-ketua parti politik utama, Mahathir akan lebih faham tentang maksud sokongan yang diberikan kepadanya bagi menyusun langkah seterusnya.

“Sebagai contoh, adakah mereka menyokong beliau (Mahathir_ kerana mereka benar-benar mahu melihatnya menerajui negara atau kerana mereka tidak mahu musuh politik mereka menang sokongan popular untuk menjadi perdana menteri?

“Jika mereka benar-benar sokong beliau dan tidak ada pencabar lain, beliau boleh membentuk kerajaan baru,” katanya.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa, sehingga membawa kepada peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri

Tinggalkan komen anda