DAP sangsi niat usul undi percaya perdana menteri


shadow

DAP mempersoalkan niat sebenar di sebalik rancangan PAS untuk mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang Parlimen akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan rancangan itu sebagai “langkah songsang” kerana pembangkang biasanya akan melancarkan usul tidak percaya ke atas ketua eksekutif.

Malah, PAS juga sering menentang usul kerajaan seperti dalam usul mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, kata Lim.

“Saya tidak faham kenapa (PAS usulkan) undi percaya apabila mereka tidak mahu sokong usul yang dibuat perdana menteri (di Dewan Rakyat) dalam beberapa perkara berkaitan Sabah dan Sarawak untuk memulihkan status mereka.

“Undi percaya biasanya datang daripada kerajaan, bukan daripada pembangkang, terbalik lagi. Jadi nampaknya agak songsang kita lihat gelagat PAS,” katanya kepada pemberita di Seberang Jaya.

PAS mengumumkan akan melancarkan usul menyokong perdana menteri dalam sidang akan datang bagi memastikan Dr Mahathir masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia muncul sewaktu timbul desas-desus PAS dan Umno akan menyokong Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai perdana menteri bagi mengelak jawatan itu diserahkan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ia turut berkaitan dengan dakwaan satu gabungan baharu sedang diusahakan dengan nama Pakatan Nasional, melibatkan Bersatu, Umno dan PAS.

Dakwaan kerjasama dan pembentukan gabungan baharu itu dinafikan Dr Mahathir dalam satu wawancara disiarkan beberapa hari lalu.

Dalam wawancara dengan laman Malaya Pos itu, Dr Mahathir turut menjelaskan, pihak paling berkuasa untuk menentukan jawatan perdana menteri adalah ahli Dewan Rakyat.

Perdana menteri menyatakan demikian bagi menjelaskan spekulasi berhubung peluang Anwar yang merupakan presiden PKR untuk menggantikannya di jawatan perdana menteri.

Dalam rakaman video wawancara dengan laman Malaya Pos, Dr Mahathir turut menegaskan beliau akan menepati janji menyerahkan jawatan kepada Anwar.

“Kita berjanji kita kena pegang kepada janji. Kalaupun saya nak mungkin janji, saya cuma jadi perdana menteri kerana dapat sokongan daripada parti saya terutama daripada majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Dengan itu baru saya dapat jadi perdana menteri. Kalau saya tidak hendak letak jawatan, tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh.

“Itu cara demokrasi. Yang berkuasa sebenarnya adalah Dewan Rakyat, ahli-ahlinya. Mereka boleh menentukan saya terus jadi perdana menteri ataupun tidak,” katanya.

Katanya, beliau akan kehilangan kuasa sekiranya ahli Dewan tidak menyokongnya.

Beliau menjelaskan senario itu berdasarkan kedudukannya sebagai perdana menteri yang tidak menguasai majoriti kerusi dalam Parlimen.

PKR pada waktu ini menguasai 47 kerusi, paling banyak berbanding DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11) dalam PH.

Manakala Warisan, parti mesra PH yang diketuai Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menguasai sembilan kerusi.

BN termasuk Umno pula menguasai 41 kerusi manakala PAS 18 kerusi.

Tinggalkan komen anda