Bursa Malaysia terus menjunam


shadow

BURSA tempatan terus berada dalam tekanan disebabkan ketidakpastian yang menyelubungi landskap politik negara yang menyebabkan indeks petunjuk pasaran itu turun ke paras terendahnya sejak Disember 2011. 

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.54 peratus atau 38.94 mata berbanding paras penutup 1,531.20 pada Jumaat. 

Indeks itu dibuka pada 1,501.47, terapung antara paras 1,491.20 hingga 1,510.42 sepanjang sesi pagi. 

Di seluruh papan, semua indeks negatif dengan kaunter pembinaan menjadi saham yang mencatatkan penurunan terbesar turun 5.72 peratus, apabila perkembangan mutakhir politik tempatan meninggalkan banyak persoalan tentang projek semasa dan akan datang kerajaan. 

Sejak pagi, saham milik syarikat berkaitan kerajaan paling teruk terjejas dengan gergasi utiliti, Tenaga Nasional menerajui kaunter rugi jatuh 42 sen kepada RM12.36, manakala Maybank susut 20 sen kepada RM8.21 dan CIMB Group berkurangan 18 sen kepada RM4.82. 

Sementara itu, saham berkaitan Petronas seperti Petronas Chemicals turun 20 sen kepada RM6.25, Petronas Dagangan susut 20 sen kepada RM21.80, MISC jatuh 45 sen kepada RM7.24 dan saham telekomunikasi Axiata jatuh 20 sen kepada RM4.05. 

Public Bank merupakan kaunter paling rugi utama jatuh 66 sen kepada RM17.56. 

Penurunan dalam saham-saham ini telah menyeret turun indeks komposit sebanyak 25.95 mata.

Seorang penganalisis berkata FBM KLCI dijangka terus berada dalam aliran menurun dan menguji paras 1,480 sekiranya keadaan ketidakpastian politik ini berterusan sepanjang hari. 

“Pelbagai pihak mengadakan mesyuarat di pelbagai tempat. Bagaimanapun, masih belum jelas apakah hasilnya kelak.

“Oleh itu, kami menjangka penurunan pasaran ekuiti tempatan terutamanya dalam kaunter berkaitan kerajaan,” katanya kepada Bernama. 

Di papan skor, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 959 berbanding 111, dengan 167 tidak berubah, 762 tidak diniagakan dan 22 digantung.  

Jumlah dagangan berjumlah 2.35 bilion bernilai RM2.11 bilion.

Sementara itu, produk pengguna mencatatkan penurunan terbesar dengan Dutchlady jatuh RM1.22 kepada RM44.56, Heineken turun RM3.04 kepada RM28.00 dan Carlsberg susut RM4.14 kepada RM34.80.

Dalam kalangan kaunter cergas, MyEG meneruskan penurunan dengan turun 13 sen kepada RM1.17, manakala Alam Maritim jatuh satu sen kepada 13 sen dan Bumi Armada jatuh 2.5 sen kepada 37.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 306.69 mata kepada 10,658.92, Indeks FBMT 100 jatuh 294.94 mata kepada 10,452.17 dan FBM Ace turun 127.42 mata kepada 5,629.50.

Indeks FBM Emas Shariah turun 310.89 mata kepada 11,346.37 dan FBM 70 susut 469.42 mata kepada 13,412.37.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.37 mata kepada 142.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 376.31 mata kepada 14,319.61 dan Indeks Perladangan berkurangan  215.21 mata kepada 6,919.44.

Tinggalkan komen anda