KUALA LUMPUR: Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) berpendapat, pembubaran Parlimen bukan langkah terbaik untuk menangani kemelut politik negara ketika ini.
Ahlinya, Tun Mohammed Hanif Omar, berkata keputusan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik harus diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Secara am, tidak ada keperluan untuk membubarkan Parlimen kerana terdapat banyak risiko kepada ekonomi negara, keselamatan, pendidikan dan sebagainya.
“Kuncinya sekarang ialah semua pihak harus patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa.
“Sehubungan itu, pihak lain tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang mendahului baginda,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong di luar pekarangan Pintu 3 Istana Negara, di sini, hari ini.
Hadir bersama beliau ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Ketika ditanya, Mohammed Hanif bagaimanapun enggan mengulas mengenai kandungan memorandum itu kerana hanya Al-Sultan Abdullah yang boleh kongsikan perkara berkenaan dengan orang awam.
“Memandangkan Tuanku mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, hari ini, diharap mesej daripada pandangan rakyat ini dapat turut dibincangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Hanif yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, pihaknya telah menubuhkan satu gerakan pada 6 Disember tahun lalu sebagai usaha mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia dinamakan Gerakan Mempertahankan Kedaulatan Perlembagaan selepas kita mengesyaki ada percubaan untuk mengangkat anasir komunis di dalam negara ini,” katanya.
Tinggalkan komen anda