Azmin: Tindakan kami berpaksikan aspirasi rakyat


shadow

Sehari selepas mengumumkan keluar dari PKR bersama 10 ahli parlimen yang lain, Mohamed Azmin Ali hari ini berkata tindakannya itu demi aspirasi rakyat yang mahukan kerajaan yang stabil dan ekonomi negara.

Sambil mengulangi sokongan tidak berbelah bagi terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal, bekas timbalan presiden PKR itu menerusi Twitter berkata perkara itu telah ditegaskan dalam mesyuarat parti tertutup dan secara terbuka.

“Tindakan yang kami ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini pada keyakinan kami merupakan mandat sebenar yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14.

“Kumpulan kami adalah terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan,” tulisnya hari ini.

Untuk rekod, Bursa Malaysia FBM KLCI semalam turun ke paras terendah sepanjang 8 tahun ketika ditutupi pada 2.68 peratus atau 41.14 mata lebih rendah berbanding penutupan hari Jumaat sebanyak 1,531.20.

Azmin yang pernah memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi itu turut mengemas kini pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong untuk ditemu bual hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menemu bual sendiri semua ahli parlimen mulai hari ini bagi menentukan sokongan mereka untuk jawatan perdana menteri.

Ia selaras dengan Perkara 43 (2) (a) yang menyatakan Agong akan melantik seorang anggota Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Kami sekarang sedang menunggu giliran untuk mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemu bual.

“Langkah yang telah kami ambil menunjukkan perkembangan positif dan menyakinkan. Kami sedang menangani isu-isu berkaitan secara berperingkat,” tulis Azmin lagi.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa, sehingga membawa kepada peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri.-Mkini

Tinggalkan komen anda