Azmin, bekas ahli Parlimen PKR nyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir


shadow

BEKAS pemimpin PKR Mohamed Azmin Ali bersama ahli Parlimen yang keluar parti menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Ketika semua 222 ahli Parlimen bersedia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan siapa yang mereka sokong, Azmin bersama 10 ahli Parlimen berkenaan dalam satu kenyataan berkata, sokongan itu berpaksikan kepada aspirasi rakyat yang mahu sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini pada keyakinan kami merupakan mandat sebenar yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14. Kumpulan kami adalah terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan,” katanya.

Selain Azmin, 10 ahli Parlimen yang menandatangani kenyatan itu adalah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mendapat pengesahan dari setiap ahli Parlimen untuk menentukan sokongan majoriti untuk memilih perdana menteri baharu pada pukul 2.30 petang ini.

Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Agong susulan peletakan jawatannya.

Kebanyakan parti dan ahli Parlimen menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri.

Malam tadi, Azmin dan 10 ahli Parlimen berkenaan turut mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan dakwaan mereka sebagai pengkhianat susulan kemelut politik yang berlaku.

Dalam kenyataan itu, mereka mendakwa tindakan berkenaan bagi menghalang usaha menukar perdana menteri di pertengahan penggal untuk mengelak isyarat yang salah kepada rakyat dan pelabur.

Sebaliknya, mereka mahukan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Peralihan kuasa kepada Anwar sebelum ini telah dipersetujui semua parti dalam PH sebelum piihan raya umum ke-14 pada 2018.

Tinggalkan komen anda