Airbnb kecam gesaan MAH untuk gantung operasi


shadow

AIRBNB mengecam Persatuan Hotel Malaysia (MAH) kerana mengusulkan operasi syarikat itu digantung ekoran penularan wabak Covid-19.

Syarikat itu mengatakan bahawa persatuan tersebut tidak harus mengeksploitasi kecemasan kesihatan untuk kepentingan komersilnya.

“Tidak seharusnya Persatuan Hotel Malaysia eksploitasi kecemasan kesihatan global untuk meluaskan pengaruh dan agenda komersil mereka,” kata jurucakap Airbnb dalam satu kenyataan.

“Airbnb akan terus mengutamakan keselamatan tuan rumah, tetamu dan komuniti kami, dan tetap komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menyokong industri pelancongan tempatan, terutama ketika tempoh yang mencabar ini,” kata jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata persatuan tersebut telah mencetuskan kebimbangan yang boleh merosakkan industri pelancongan negara.

Kenyataan MAH juga bertentangan dengan panduan rasmi pihak berkuasa tempatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tambah jurucakap itu.

“Semasa kecemasan kesihatan global ini, industri pelancongan bertanggungjawab untuk mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan yang dimaklumkan oleh panduan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.

“Kami menggalakkan semua pemain industri untuk menyertai kerja penting dalam menjaga komuniti dan mendapatkan maklumat sebaik mungkin bagi membantu mengurangkan kesan gangguan perjalanan,” kata kenyataan Airbnb itu.

Airbnb merujuk kepada kenyataan MAH pada awal hari ini bahawa Badan Pengurusan Bersama sebuah kediaman berservis mewah di tengah-tengah Kuala Lumpur telah memberitahu penduduk melalui pekeliling, kes Covid-19 yang disahkan adalah melibatkan seorang tetamu Airbnb di kondominium itu.

https://www.themalaysianinsight.com/s/219317

Persatuan itu berkata kekurangan maklumat pendaftaran, perkhidmatan dan sokongan tetamu, kesediaan kecemasan dan prosedur operasi standard asas oleh platform perkongsian rumah itu menimbulkan risiko kritikal terhadap pengurusan krisis negara, menjadikan penduduknya terdedah kepada ancaman luar.

“Kami mendesak Airbnb untuk melakukan perkara yang betul dan menangguhkan semua operasi dengan segera untuk membantu kerajaan di seluruh dunia dalam membendung Covid-19,” kata MAH.

Tinggalkan komen anda