44 kes baharu Covid-19 dikesan dalam kapal pelayaran di Jepun


shadow

EMPAT puluh empat orang dalam kapal pelayaran di perairan Jepun disahkan positif koronavirus baharu, kata menteri kesihatan negara itu hari ini.

Menteri Kesihatan Katsunobu Kato berkata 44 kes baharu itu adalah hasil 221 ujian. Kes jangkitan itu dikesan di atas kapal Diamond Princess, menjadikan jumlah kes sebanyak 218, selain seorang pegawai kuarantin yang juga disahkan positif.

Kato berkata pihak berkuasa kini mahu memindahkan warga emas dari kapal itu sekiranya mereka sah negatif untuk diletakkan di penempatan ditaja kerajaan.

“Kami harap dapat memulakan operasi esok paling cepat,” katanya kepada wartawan.

Daripada jumlah kes terbaru itu, 43 adalah penumpang dan satu kes melibatkan anak kapal.

Diamond Princess ditambat di perairan Jepun sejak 3 Februari lalu, selepas seorang bekas penumpangnya yang mendarat di Hong Kong bulan lepas disahkan positif Covid-19.

Kapal itu dikuarantin dan pihak berkuasa meminta penumpang dan anak kapal terus berada di atasnya sehingga 19 Februari.

Mereka yang disahkan positif kemudiannya dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan tetapi ia menimbulkan isu sama ada kapal itu sesuai dijadikan tempat kuarantin kerana berpuluh kes baharu dikesan hampir setiap hari.

Penumpang dikuarantin dalam bilik masing-masing dan dihendaki memakai topeng dan menjaga jarak antara satu sama lain apabila dibenarkan keluar daripada bilik.

Tinggalkan komen anda