1 lagi warga China pulih daripada koronavirus


shadow

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga China yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru pada 24 Jan lalu akibat dijangkiti koronavirus pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa yang merupakan kes ke-4 dibenarkan pulang hari ini selepas 8 hari menerima rawatan.

“Kajian X-ray dada pada hari ke-4 menunjukkan tanda-tanda jangkitan bertambah tenat.

“Pihak hospital memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kaletra (off-label use) pada 28 Jan 2020,” tulisnya menerusi Facebook.

Noor Hisham menambah mangsa dimasukkan ke hospital pada 24 Jan dengan gejala demam panas dan radang paru-paru (pneumonia).

“Keadaan pesakit bertambah tenat pada hari kedua di ward isolasi Hospital Permai, Johor Baru sehingga memerlukan bantuan oksigen,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Hospital Permai, Johor Bahru yang diketuai Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Masliza Zaid.

Rabu lalu, kanak-kanak warganegara China positif koronavirus dan dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi disahkan sihat dan dibenarkan pulang.

Keputusan itu dicapai selepas hasil ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun itu sebanyak 2 kali dan didapati ia negatif.

Noor Hisham berkata, keputusan positif itu menunjukkan jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak kes lain yang dilaporkan di China.

Tinggalkan komen anda