Zuki Ali mula tugas KSN hari ini


shadow

KETUA Setiausaha Negara (KSN) baharu Mohd Zuki Ali melapor diri di Pejabat Ketua Setiausaha Negara di Perdana Putra hari ini.

Mohd Zaki, 58, dilantik sebagai KSN ke-15 berkuat kuasa 1 Januari 2020 menggantikan Dr Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Zuki juga mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir menyampaikan watikah pelantikan sebagai KSN kepada Mohd Zuki dan menyaksikan penyerahan nota serah tugas daripada Ismail kepada KSN baharu itu.

Mohd Zuki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun.

Sebelum pelantikan terkini, Mohd Zuki ialah ketua setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.

Tinggalkan komen anda