Virus belum kritikal untuk halang pelancong masuk, kata PM


shadow

WABAK koronavirus belum sampai ke peringkat kritikal untuk melarang pelancong masuk ke negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad

“Kita tidak boleh meramalkan pada masa ini (betapa serius tahapnya). Banyak negara juga menghadapi masalah yang sama.

“Tetapi pada masa ini, belum lagi kritikal sehingga kita menghentikan pelancongan,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Klang (KCCCI) di Dewan Pertubuhan Hokkien Klang.

Koronavirus yang muncul dari Wuhan, China kini sudah membunuh 56 orang dan menyebabkan hampir 2,000 jatuh sakit.

Malaysia mengesahkan empat kes jangkitan, seperti Singapura.

Penularan ini masih berpusat di ibu kota wilayah Wuhan, Hubei yang menyaksikan tujuh kematian baru dan 46 kes yang disahkan baru, kata Suruhanjaya Kesihatan Hubei.

Wuhan dan puluhan bandar lain di wilayah itu ditutup dalam usaha kuarantin pihak berkuasa.

Virus yang sebelum ini tidak diketahui menyebabkan kebimbangan dunia kerana persamaannya dengan SARS, atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk, patogen, yang membunuh ratusan orang di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003.

Tinggalkan komen anda