TRANSKRIP: Dzulkifli Ahmad nak menangis tengok kertas siasatan Najib


shadow

BEKAS ketua agensi anti rasuah, Dzulkifli Ahmad mengaku kepada Najib Razak yang beliau hampir menangis apabila melihat kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas perdana menteri pada Julai 2016.

Beliau membuat pengakuan itu dalam perbualan dengan Najib, yang rakaman audionya adalah antara sembilan rakaman yang didedahkan oleh SPRM hari ini. 

Dalam perbualan tersebut, Dzukifli yang ketika itu pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara, mendedahkan kepada Najib hasil siasatan SPRM yang diserahkan kepada peguam negara pada masa itu Mohamed Apandi Ali.

Dzulkifli ketika itu adalah pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya semasa mendedahkan rakaman audio itu berkata, kandungan rakaman tersebut “mengejutkan dan mencabul keadilan.”

“Atas kepentingan umum, kami mendedahkan rakaman ini,” katanya, dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Latheefa berkata, siasatan akan menunjukkan rakaman tersebut tulen.

Rakaman itu diterima oleh SPRM beberapa hari lalu, selepas tahun baharu, tambahnya.

Berikut adalah petikan transkrip rakaman perbualan yang telah dimurnikan daripada perbualan asal dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta untuk kejelasan.

Panggilan telefon Dzulkifli disambut oleh Rosmah sebelum diserahkan kepada Najib.

DZULKIFLI: Assalamualaikum Datuk Seri. Maaf ganggu malam-malam.

ROSMAH: It’s okay, tengok golf kejap.

DZULKIFLI: Saya sebenarnya nak juga dengan Datuk Seri sebab kertas siasatan peguam negara dah terima, sebab tu nak update kat dia. Tidak berapa bagus.

ROSMAH: Tiga orang punya nama yang disebut, ya?

DZULKIFLI: Datuk Seri punya nama.

ROSMAH: Datuk punya nama?

DZULKIFLI: Ya.

ROSMAH: Macam mana pulak?

DZULKIFLI: Itu yang saya nak maklumkan pada dia.

NAJIB: Hello?

DZULKIFLI: Hello, Datuk Seri. Assalamualaikum.

NAJIB: Wa’alaikum salam.

DZULKIFLI: Dah terima kertas siasatan, semalam kita terima, cadangana itu tidak berapa baguslah, Datuk Seri.

NAJIB: Macam mana pulak, dia orang kata lain.

DZULKIFLI: (ketawa kecil) IP (kertas siasatan) ada dengan saya.

NAJIB: Macam nak libatkan saya pulak?

DZULKIFLI: Bila saya tengok benda tu rasa macam nak menangis, Datuk Seri. 

NAJIB: Saya tak terlibat langsung.

DZULKIFLI: Masya-Allah, itu saya tak tahulah, Datuk Seri. Sangat jelas dalam tu, Datuk Seri, dalam IP. Saya diarahkan oleh peguam negara (Mohamed Apandi Ali) untuk bantu dia.

NAJIB: Macam mana Abu Kassim kata lain, cakap lain buat lain?

DZULKIFLI: MasyaAllah, Datuk Seri dimaklumkan macam mana?

NAJIB: Saya dimaklumkan tak ada apa.

DZULKIFLI: Ya Allah… Itu yang saya hubungi (audio tak jelas) tadi untuk dapat jumpa dengan Datuk Seri. Bila saya tengok, saya macam nak menangis… sanggup sampai ke tahap itu. 

NAJIB: Benda itu karang kalau terkeluar susah pula kita?

DZULKIFLI: Ya, ya… itu yang saya takutkan. Itu yang saya nak update dengan Datuk Seri.

NAJIB: Saya jumpa AG (peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali) hari Khamis ini.

DZULKIFLI: Aaah, okay lah. Mungkin dia akan update Datuk Seri. 

Tadi pun saya dah ambil IP semua bawa turun masuk ke tempat saya. Tapi yang itu tak apa, itu tak ada masalah. Saya dan Tan Sri AG tak ada masalah Datuk Seri, kita bersependapat. Cuma nak update dengan Datuk Seri, apa sebenarnya cadangan yang cadangan dicadangkan oleh MACC sendiri, Datuk Seri.

NAJIB: Itu yang tak kena tu, kalau dia cadang dan kalau benda itu terkeluar, nanti jadi tak sedap.

DZULKIFLI: Betul. Itu yang kita risau sangat-sangat. Itu yang saya rasa Datuk Seri kena tahu benda tersebut. 

Dari segi undang-undang, kita boleh uruskan. Tan Sri Apandi boleh uruskan, saya boleh uruskan. Itu tak jadi isu, Datuk Seri. 

Tapi selain daripada legal itu… saya pun tak sangka sampai ke tahap itu, seriusnya benda itu.

NAJIB: Macam mana jadi lain macam ini?

DUZKIFLI: Wallahua’lam, Datuk Seri. Kadang saya rasa, Datuk Seri, minta maaf Datuk Seri, ini memang dah kena main.

NAJIB: Tak kan kena main macam ini?

DZULKIFLI: Datuk Seri nak tunggu Tan Sri Apandi hari ini boleh, tak ada masalah.

NAJIB: Apandi dah tengok dah?

DULKIFLI: Apandi… dia tengok sekali lalu macam itu saja, semalam. Bahagian itu saja.

NAJIB: Dia pun terkejut?

DZULKIFLI: Dia pun terkejut… dan semalam, dia pun tak begitu gembira. Dia pun tengah fikir nak buat macam mana. Dari segi undang-undang kita boleh sokong tapi macam Datuk Seri cakaplah, seolah-olah keputusan Gani (Abdul Gani Patail, bekas peguam negara) betul dulu.

Saya pun ada benda lain juga. Tadi pun pihak polis datang jumpa saya berkenaan 1MDB. IO (pegawai penyiasat) 1MDB jumpa saya dan beri taklimat tentang kes tersebut. Saya kata 1MDB tak ada isu sekarang dan polis pun okay dengan saya.

Dia maklumkan peristiwa-peristiwa sebelum ini, apa yang berlaku. Bila saya dengar itu saya pun terkejut, Datuk Seri. Bukan Gani Patail seorang, dia sendiri pun dengar perkara tersebut. Kalau Datuk Seri hendak saya boleh bawa dia datang jumpa sekali dengan Datuk Seri. Dengar terus. Dia hadir dalam mesyuarat itu. 

Bila Datuk Seri dengar itu, konsistenlah dengan keputusan sekarang.


Tinggalkan komen anda