LATIHAN ketenteraan bersama antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) yang dijalankan tahun lepas tidak berkurangan dari segi bilangan dan kekuatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, meskipun sesetengahnya telah diubah suai bagi menyokong usaha diplomatik dengan Korea Utara, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan menteri pertahanan Seoul pada Rabu.
Yonhap melaporkan bahawa Jeong Kyeong-doo membuat kenyataan itu dalam mesej tahniah berhubung penganjuran satu persidangan selama dua hari yang bermula di Seoul pada Rabu.
Forum itu, yang menyentuh isu keamanan di Semenanjung Korea, adalah anjuran bersama Institut Penyelidikan Korea bagi Strategi Nasional dan Institusi Brookings AS.
Sejak AS dan Korea Utara memulakan rundingan Nuklear pada 2018, Seoul dan Washington sama ada telah membatalkan atau mengurangkan latihan ketenteraan bersama mereka.
Sesetengah pengkritik dan golongan konservatif telah melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan bahawa saling boleh kendali dan gandingan kedua-dua sekutu kian melemah manakala Korea Utara terus mendatangkan ancaman.
“Selain memantau dengan teliti pergerakan ketenteraan di Korea Utara, pihak berkuasa Korea Selatan dan AS telah bekerjasama rapat berhubung pelbagai pilihan yang boleh mencegah dan memberi tindak balas terhadap provokasi Korea Utara,” kata menteri itu sambil melahirkan keyakinan terhadap keupayaan pertahanan kedua-dua sekutu dan kesiapsiagaan mendepani sebarang kemungkinan.
Tahun lepas, Korea Utara telah menembak 25 projektil termasuk peluru berpandu balistik jarak dekat dan sebutir SLBM, semasa 13 pusingan ujian senjata meskipun ia tidak melancarkan sebutir pun ICBM sejak November 2017.
Negara komunis itu turut melakukan ujian tembakan di barat sempadan Pulau Changrin pada November yang melanggar pakatan ketenteraan antara Korea 2018 dan mengendalikan ujian enjin roket sebanyak dua kali di Dongchang-ri pada bulan berikutnya, yang dipercayai adalah sebahagian daripada pembangunan ICBM.
Korea Utara sudah sekian lama mengutuk latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan yang dianggap sebagai satu raptai bagi melakukan pencerobohan, dan telah mendesak agar kedua-dua sekutu menghentikan latihan itu selain memberi amaran bahawa ia tidak akan kembali ke meja rundingan sehinggalah Washington menarik balik dasar permusuhan terhadap rejim tersebut.
Tinggalkan komen anda