Siti Kasim tempelak sikap tidak matang Pakatan


shadow

PAKATAN Harapan (PH) kelihatan mengarut dengan pendekatan tidak matang yang diambil berhubung peralihan kuasa perdana menteri, kata peguam dan aktivis Siti Kasim, ketika para pemimpinnya mendesak ahli menamatkan percakaran terbuka mereka.

Beliau berkata, malah Barisan Nasional juga tahu untuk tidak bergaduh secara terbuka.

“Geli hati saya lihat semua kem dalam PH bergaduh antara satu sama lain, mahu bos mereka menjadi PM,” tulis beliau di Twitter hari ini.

“Sikap tidak matang seperti ini membuatkan PH kelihatan mengarut. Satu hal yang anda tidak akan lihat parti BN buat. Mereka lebih bijak mainkan kita.”

Pengasas Yayasan Bertindak Untuk Keadilan Malaysia itu berkata komen ahli politik PH mengenai isu peralihan kuasa menunjukkan mereka hanya berfikir tentang diri sendiri, dan tidak menangani kebimbangan rakyat.

Antara perkara yang menjadi perhatian katanya, adalah keputusan kerajaan tidak mendedahkan secara terbuka laporan Jawatankuasa Institusi Pembaharuan (IRC), menangguhkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan pusingan “U” Putrajaya berhubung pengesahan perjanjian antarabangsa, iaitu Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum dalam Semua Bentuk (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Di mana suara mereka terhadap isu yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat? Ajaran sentrik-agama di sekolah kita, penangguhan laporan mengenai IRC, IPCMC, ICERD, STATUS ROME dll … DI MANA?

“Tetapi bila berdepan isu, kita tidak dengar apa-apa. Kereta terbang – tak ada. Menteri suruh dakwah – tak ada.” 

Tinggalkan komen anda