SISTEM pengangkutan monorel di Putrajaya dijangka siap sebelum 2025 dengan jajaran perkhidmatan tersebut diperluaskan hingga ke Cyberajaya, Bangi dan Kajang, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.
Beliau berkata projek tersebut adalah antara yang menjadi tumpuan utama oleh kerajaan dalam menaiktaraf sistem pengangkutan di Putrajaya selain menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke pusat pentadbiran kerajaan tersebut.
“Selepas 25 tahun, di antara projek pembangunan yang belum selesai di Putrajaya adalah projek monorel dan ini memang kita beri tumpuan untuk menghidupkan semula projek ini kerana infrastrukturnya sudah wujud termasuk jambatan yang kini tergantung dan terowong,” katanya.
Bercakap kepada pada sidang media hari ini beliau berkata perbincangan telah dilakukan dengan Kementerian Pengangkutan yang mana satu jajaran baharu telah ditetapkan.
“Bagi jajaran di kawasan Putrajaya, ianya kekal kepada idea jajaran yang asal, tetapi akan turut melibatkan jajaran ke Kajang, Bangi dan Cyberjaya selain akan dihubungkan dengan ECRL (Projek Laluan Rel Pantai Timur), MRT (Transit Aliran Massa), HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi) Malaysia dan Singapura,” katanya.
Khalid berkata projek pembinaan monorel tersebut termasuk proses Permohonan Cadangan (RFP) akan diketuai Kementerian Pengangkutan kerana projek tersebut akan melangkaui ke kawasan Cybejaya, Kajang dan Bangi yang melibatkan kuasa di bawah kerajaan negeri Selangor.
Mengenai pembangunan semula Kampung Baru, Kuala Lumpur, Khalid berkata tiada sebab untuk kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil tanah kawasan tersebut kerana tawaran yang diberikan kerajaan adalah baik.
“Jadi apa yang kita lakukan sekarang adalah kita sedang menjelaskan tawaran kita kepada semua, dan kerana kita yakin tawaran kita adalah menarik, baik dan adil maka tiada sebab untuk mereka menolak,” katanya.
Menurutnya, hampir 50 peratus pemilik tanah telah memberi maklum balas berkenaan penawaran tersebut dan dari jumlah tersebut 97 peratus telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan.
Kerajaan telah mengemukakan tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula di kawasan berkenaan pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.
Bersandarkan harga baharu itu, RM850 adalah secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.
Tinggalkan komen anda