Silakan jika mahu Najib kembali, kata PM


shadow

WALAUPUN kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited memperbaiki kerosakan dalam negara, pihak yang melakukan kerosakan itu masih mendapat sokongan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Jelas perdana menteri itu, kerajaan bersungguh-sungguh membayar hutang dan mengubah imej kerajaan, rakyat tetap “mencium tangan Bossku”.

Gelaran “Bossku” itu merujuk kepada gelaran Najib Razak yang dicipta bagi kempen bekas perdana menteri itu mencantikkan semula imejnya di mata rakyat selepas diheret ke mahkamah.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak faham bagaimana orang ramai masih boleh menyokong Najib yang diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan salah laku, rasuah, dan salah guna kuasa.

“Saya tidak tahu bagaimana orang boleh terpengaruh dengan pihak yang sedang berhadapan akibat penipuan dan pencurian.

“Kalau dia (rakyat) nak orang ini balik Okay lah, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ambil lah dan pilih balik. Selepas itu jangan harap PH (dapat) ambil semula (untuk) betulkan semula.

“Jika pengundi mahu penyangak tadbir negara ini kerana mereka beri duit yang banyak kepada anda, silakan,” kata beliau dalam satu sidang media di Langkawi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amarannya bahawa PH akan menjadi kerajaan sepenggal susulan kekalahan lima pilihan raya kecil (PRK) sejak Mei 2018.

Sabtu lalu, parti sekutu PH, Warisan gagal merampas kerusi Parlimen Kimanis, yang menjadi kekalahan kelima daripada 10 PRK sejak PRU14.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata parti kerajaan tidak akan menang pilihan raya selagi tidak mendapat sokongan rakyat.

“Saya beritahu mereka demokrasi perlukan sokongan kuat daripada rakyat. Sebaliknya mereka kelahi sama sendiri, mereka pecahkan penyokong, dan itu menjadikan mereka lemah.

“Mereka tidak akan menang melainkan mereka berubah,” kata Dr Mahathir dalam satu sesi bersama beberapa media di Langkawi.

Tambahnya, kekalahan lima kali dalam PRK itu tidak bermakna PH akan tewas dalam PRU dan parti itu juga tidak akan menggunakan duit untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Namun pentadbiran kerajaan juga lemah pada waktu ini kerana ramai diberhentikan kerana terlibat dengan rasuah dan pemimpin PH tidak pandai menjelaskan kejayaannya.

“Kita dapati orang dahulu yang cekap terpaksa dibersara kerana terlibat dengan rasuah, orang baharu ambil alih, tidak secekap orang lama.

“Akhirnya kerajaan PH pula tidak pandai bercerita (kejayaan kerajaan),” tambahnya.

Tinggalkan komen anda