Siasatan dapati hanya Isa terima suapan RM3 juta, kata saksi


shadow

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa siasatan mendapati hanya bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad menerima wang suapan RM3 juta daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safari Abdullah, 37, berkata bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip, 53, bekas ketua pegawai eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) Mohd Zaid Abdul Jalil, 49, serta Ikhwan, 60, tidak didakwa di mahkamah kerana mereka tidak terlibat menerima suapan tersebut.

“Saya tidak perlu mencadangkan tiga nama itu untuk dituduh kerana tiada pakatan dan komplot di antara mereka serta siasatan mendapati bahawa wang tersebut hanya sampai kepada tertuduh (Mohd Isa),” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta yang dihadapi Mohd Isa berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh FICSB.

Mohamad Safari membuat penjelasan itu selepas Afzainizam merujuk kepada soalan peguam Salehuddin Saidin mewakili Mohd Isa mengapa pegawai penyiasat itu tidak mencadangkan tiga individu berkenaan (Muhammad Zahid, Mohd Zaid dan Ikhwan) untuk dituduh memandangkan terdapat bukti yang mencukupi untuk menuduh mereka.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata siasatan mendapati Muhammad Zahid tidak terlibat dalam membuat keputusan berhubung pembelian MPHS sebaliknya beliau hanya menjadi ‘orang tengah’ untuk mendapatkan wang suapan (RM3 juta) daripada Ikhwan.

“Muhammad Zahid iaitu saksi pendakwaan ke-21 menerima wang itu (suapan) daripada Ikhwan adalah untuk Tan Sri Isa. Penyerahan wang tersebut juga diketahui saksi-saksi lain.

“Ikhwan tidak bersama Muhammad Zahid ketika wang itu diserahkan kepada Tan Sri Isa, tetapi Ikhwan tahu wang itu telah diserahkan kepada Tan Sri Isa,” katanya.

Ditanya Afzainizam, mengapa saksi itu tidak bersetuju dengan peguam Salehuddin bahawa Ikhwan mempunyai kepentingan berhubung suapan tersebut, saksi pendakwaan terakhir itu berkata ini kerana dalam penjualan MPHS, Ikhwan menerima dividen.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh Salehuddin, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau video yang menunjukkan Muhammad Zahid menyerahkan wang suapan tersebut kepada Mohd Isa.

Mohamad Safari juga bersetuju dengan cadangan Salehuddin bahawa tiada sebarang perjanjian, dokumen dan keterangan wang suapan tersebut dimasukkan ke dalam akaun sesiapa berhubung penyerahan wang itu.

Mohd Isa, 71, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April, 2014 dan 15 Disember, 2015.

Pihak pendakwaan menutup kes itu hari ini setelah 22 saksi selesai memberi keterangan.

Tinggalkan komen anda