Ramkarpal tak boleh dakwa Pakatan lemah, kata Ambiga


shadow

RAMKARPAL Singh tidak boleh terus menyerang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan mendakwa Pakatan Harapan (PH) lemah, kata Ambiga Sreenevasan.

Peguam dan aktivis itu mengulas kenyataan Ramkarpal semalam bahawa Dr Mahathir perlu bertanggungjawab atas kekalahan PH dalam lima pilihan raya kecil, termasuk di Kimanis, Sabah yang diadakan pada Sabtu lalu.

Ambiga mengingatkan bahawa PH juga menang dalam lima daripada sepuluh PRK yang diadakan sejak pilihan raya umum 2018.

“Bagaimana pula dengan 5 lagi kejayaan? Apa sudah jadi dengan tanggungjawab kolektif? 

“Kamu tidak boleh terus menyerang pemimpin kemudian bertanya kenapa PH lemah. 

“Kamu boleh buat begitu, contohnya dalam parti kamu tanpa terima akibatnya? Maaf sahabat saya, Ram. Dalam hal ini saya tidak bersetuju dengan kamu,” kata Ambiga di Twitter.

Ramkarpal juga berkata kesediaan Dr Mahathir bekerja dengan sesiapa kecuali Najib Razak tidak mencerminkan keyakinan kepada komitmen PH membuat pembaharuan sebenar.

Menurut ahli Parlimen Bukit Gelugor itu lagi, isu peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu ditangani segera.

Peguam kepada Anwar dalam kes cabul ahli Parlimen Port Dickson itu adalah antara beberapa pemimpin DAP yang mula mendesak Dr Mahathir melepaskan jawatan.

Perdana menteri sebelum ini berkata akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pemimpin DAP dan PKR mahu peralihan kuasa dilakukan pada Mei, genap dua tahun PH mentadbir negara. Majlis Presiden PH pula berkata tiada tarikh tertentu yang ditetapkan untuk Dr Mahathir menyerah kuasa kepada Anwar.

Tinggalkan komen anda