Putrajaya bodoh tak jual PLUS, kata bos Maju Holdings


shadow

PENGERUSI Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd Abu Sahid Mohamed menyifatkan keputusan Putrajaya tidak menjual syarikat konsesi PLUS Malaysia Sdn Bhd (PLUS) “bodoh”, lapor Free Malaysia Today.

Taikun itu turut mempersoalkan mengapa tidak dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan itu walaupun syarikatnya dipelawa untuk membida.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu menjualnya. Mereka tidak beritahu saya kenapa mereka tidak mahu jual,” kata Abu Sahid dipetik portal itu.

Pada masa yang sama, beliau menuduh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Shahril Ridza Ridzuan pembohong.

“Mereka perlu ingat saya dipelawa untuk membida, bukan seperti orang lain yang hanya masuk tanpa jemputan.

“Kenapa Shahril cakap macam itu? Dia pembohong. Bagaimana mereka boleh kata saya tidak dipelawa dan mereka tidak tahu apa-apa mengenai tawaran kami? Kami tulis surat kepada mereka, kami orang pertama menulis surat kepada mereka,” Abu Shahid dipetik berkata.

Beliau merujuk kepada Shahril yang dilaporkan berkata Khazanah tidak pernah menawarkan penjualan PLUS dan menyifatkan tawaran pembida sebagai tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan.

“Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan untuk membida aset itu. Ia adalah tawaran tanpa diminta,” kata Shahril kepada FMT.

Abu Shahid menambah kerajaan bukan sahaja bodoh apabila tidak menjual PLUS, tetapi juga “mencuri wang”. Malah beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Shahril.

Maju Holdings menawarkan RM34.9 bilion termasuk hutang untuk membeli PLUS, dan pengurangan kadar tol.

Maju Holdings antara empat syarikat swasta yang mengintai pegangan Khazanah dalam PLUS.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad siang tadi mengesahkan PLUS tidak akan dijual. Dr Mahathir berkata Kabinet sudah mengkaji semua perjanjian dibuat dengan sektor swasta dan juga Khazanah dan akhirnya membuat keputusan untuk tidak menjualnya.

Khazanah menerusi Kumpulan UEM Bhd memegang 51% kepentingan dalam PLUS, KWSP pula memegang baki 49%.

Tinggalkan komen anda