PRK Kimanis adalah “friendly election” – Calon BN


shadow

BEAUFORT: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin menyifatkan pertembungan dengan calon Pakatan Harapan (PH) – Warisan, Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebagai “friendly election”.

Menurut Ketua UMNO Kimanis itu, Karim diibaratkan seperti mentornya dan tokoh politik itu mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik.

“Saya sudah kenal beliau cukup lama, pimpinan cukup lama dalam UMNO sebelum ini dan pernah menjadi ADUN selama 25 tahun.

“Jadi, saya adalah orang baharu dan ibarat anak didik beliau tetapi beliau sudah beralih (keluar UMNO). Bagaimanapun, kami tetap akan lawan.

“Saya akan mempertahankan kerusi Kimanis dan kekal bersama BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai selesai proses pengumuman calon di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau berhasrat membawa suara rakyat Sabah ke Parlimen.

“Saya akan membawa suara rakyat Sabah, kita akan luahkan supaya sampai kepada kerajaan.

“Kita akan lihat apa-apa isu semasa, ketikdakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan jelas,” katanya.

Sementara itu, Karim berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk membuat keputusan  bagi memilih wakil rakyat baharu.

“Bagi saya memenangi pilihan raya ini lebih penting daripada hal-hal yang lain.

“Rakyat tahu dan faham ini merupakan satu tanggungjawab yang besar, sebab itu saya memerlukan sokongan daripada semua lapisan (parti) untuk meyakinkan rakyat bahawa PH dan Warisan adalah sehati sejiwa.

“Saya rasa Warisan mempunyai peluang cerah (menang PRK Kimanis) namun kita tidak boleh begitu selesa,” katanya.

Mohamad merupakan calon pertama tiba dan selesai menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi manakala Karim selesai mengisi borang pencalonan pada pukul 9.10 pagi.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda