Polis jamin kes anak Indira Gandhi berakhir dengan gembira


shadow

POLIS memberi jaminan kes kehilangan anak perempuan M Indira Gandhi akan berakhir dengan kegembiraan.

Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador berkata, pasukannya sudah melipat gandakan usaha untuk menjejaki anak wanita itu, Prasana Diksa dan beliau sendiri akan meneliti kes itu.

“Saya mahu kesudahan yang baik untuk episod ini. Kesudahannya pasti akan menggembirakan kedua-dua pihak, ibu dan bapanya dan pada masa yang sama, kebajikan anak itu akan terjamin.

“Kes ini amat sedih dan menyentuh hati rakyat Malaysia. Kita bercakap tentang seorang ibu (yang terpisah) dengan anaknya,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Cheras, hari ini.

Menurut Hamid, polis akan berusaha menyelesaikannya namun mustahil kes itu dapat diselesaikan sekelip mata kerana ia sudahpun berlanjutan lebih tujuh tahun itu dalam sekelip mata.

“Polis sedang mencari, tetapi saya tidak boleh mendedahkannya kepada media.

“Mengenai niat menyaman saman berhubung kes ini, saya akan meneliti tuntutan saman itu dan akan serahkan kepada Jabatan Undang-undang Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau mengulas rancangan ibu kanak-kanak tersebut yang mahu mengemukakan saman bagi menuntut RM100 juta kerana polis gagal menemui anak perempuannya.

M Indira mendakwa kanak-kanak itu diculik bekas suaminya 11 tahun lalu.

Bekas guru tadika dan Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) akan memfailkan saman sivil melalui peguam mereka pada minggu pertama Februari.

Indira juga menuntut Hamid bertindak atas perintah mandamus Mahkamah Tinggi pada 2014 kepada KPN untuk menguatkuasa waran tangkap terhadap bekas suaminya Muhammad Riduan dan perintah mendapatkan anaknya, Prasana.

Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy berkata mereka menyaman KPN kerana beliau gagal bertindak di atas perintah mahkamah.

“Pada dasarnya, polis gagal mengikuti perintah mahkamah dan mereka gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mencari Prasana.

“Dia (Hamid) berkata bahawa kes Indira adalah keutamaan dan dia berjanji akan kembalikan Prasana. Kami mahu KPN hentikan semua cakap kosong,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.

Riduan melarikan Prasana ketika bayi selepas menukar agama tiga anak mereka secara sepihak. Lelaki itu kini mengabaikan  perintah mahkamah untuk memulangkan anak tersebut kepada bekas isterinya.

Mahkamah memberikan hak penjagaan ke atas tiga anak itu kepada Indira dan memutuskan penukaran agama kanak-kanak berkenaan tidak sah. 

Tinggalkan komen anda