DIREKTORAT Penguatkuasaan India (ED) memanggil ketua-ketua eksekutif AirAsia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tony Fernandes untuk disoal bagi siasatan ke atas operasi syarikat penerbangan itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) pada 20 Januari, lapor media India.
Mereka dipanggil selepas lebih setahun ED dan Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) menyiasat penyelewengan kewangan dan salah laku jenayah ketika syarikat penerbangan tambang murah itu melobi untuk mendapatkan lesen bagi operasinya di India.
Pada Mei 2018 ED memfailkan kes pengubahan wang haram terhadap pegawai-pegawai AirAsia atas dakwaan cuba memberi rasuah untuk mendapatkan lesen penerbangan antarabangsa bagi AirAsia India Limited.
Sebulan selepas itu, ED menyiasat AirAsia atas pengubahan wang haram selepas memperoleh dokumen berkaitan kelulusan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diberi kepada syarikat itu dari kementerian perdagagangan dan industri.
CBI menggeledah pejabat AirAsia India dan memfail aduan terhadap Fernandes atas dakwaan melobi lesen penerbangan antarabangsa dan melanggar peraturan yang menghalang syarikat penerbangan asing mengawal pengendali India.
Menurut CBI, pelanggaran berlaku dari 2013 hingga 2016.
AirAsia gagal dihubungi untuk mendapatkan komen.
Tinggalkan komen anda