Petisyen gesa New Zealand bantu koala Australia dilancar


shadow

RIBUAN orang menandatangani petisyen supaya koala diperkenalkan di New Zealand bagi mengelak kebakaran hutan yang kini melanda Australia, tetapi cadangan itu ditolak pihak berkuasa.

Sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Persatuan Penempatan Semula Koala berkata koala “secara fungsinya sudah pupus di Australia” tetapi boleh membiak dengan cepat di New Zealand yang mempunyai hampir 30,000 hektar pokok eucalyptus.

Dianggarkan lebih satu bilion koala dan haiwan lain terjejas teruk kerana kebakaran yang melanda seluruh Australia dan wujud kebimbangan jumlah yang terselamat berdepan kesukaran kerana kemusnahan hutan.

Setakat pagi tadi, petisyen dalam talian itu berjaya mengumpul 7,500 tandatangan, tetapi jurucakap Perdana Menteri Jacinda Ardern memberitahu Television New Zealand yang tumpuan kerajaan adalah memberi bantu mengawal kebakaran supaya koala “boleh terus hidup di habitat asalnya”.

Pengurus Sains Haiwan Zoo Wellington Simon Eyre percaya sebarang bantuan perlu diberikan secara langsung kepada pihak berkuasa Australia bagi mengawal kesan kebakaran itu.

“Bagi kami, ia adalah untuk membantu Australia dan bukan hanya setakat koala, tetapi juga spesis lain yang terjejas dalam kebakaran itu,” katanya.

Tinggalkan komen anda