PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menafikan beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Hadi berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir bersama Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mohktar di Putrajaya baru-baru ini adalah bagi membincangkan tentang negeri yang diperintah oleh PAS iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Kita tidak meminta untuk menyertai kerajaan, tidak perlu risau tentang perkara itu. Kita tidak mahu masuk campur dan tidak mempunyai niat menyertai PH,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah mingguan di Rusila, Terengganu hari ini.
Hadi berkata kerajaan PH perlu menumpukan perhatian memenuhi janji pilihan raya daripada terus bertelagah tentang peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Pemimpin PAS itu juga mempersoalkan sama ada janji untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri memenuhi syarat-syarat Islam.
Pertemuan Hadi dan Dr Mahathir diadakan selepas PH kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa perdana menteri cuba bergabung dengan PAS untuk mendapatkan sokongan Melayu.
Dr Mahathir menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan pertemuannya dengan Hadi sebagai perkara normal.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti Islam itu tidak pernah terfikir untuk menyertai PH.
Anwar juga menolak spekulasi tersebut dengan menyatakan Dr Mahathir bertemu dengan semua pihak.
Tinggalkan komen anda