Perkeso bela nasib balu bekas jurulatih Momota, Allahyarham Mohamad Izuan


shadow

KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyerahkan sumbangan serta faedah caruman kepada balu bekas jurulatih pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota, Mohamad Izuan Ibrahim yang meninggal dunia pada 23 Disember lepas.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata, penyerahan faedah caruman itu melibatkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat yang bakal diterima setiap bulan oleh balu Allahyarham Mohamad Izuan, Siti Marshytah Mohamad, 41.

“Faedah caruman itu diberikan selepas pihak kami membuat semakan dan mendapati Allahyarham Mohamad Izuan mencukupi syarat kelayakan tuntutan Pencen Penakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Penyerahan Cek Bayaran Faedah FPM dan Pencen Penakat kepada balu Allahyarham Mohamad Izuan Ibrahim di kediamannya di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini. Hadir sama, Presiden Persatuan Badminton Kelantan Dr Naharuddin Hashim.

Nora berkata, di bawah skim pencen ini Siti Marshytah akan menerima pencen penakat Allahyarham secara bulanan sebanyak RM1,787.50 sebulan yang akan dikreditkan terus ke akaunnya bermula dari tarikh kematian Allahyarham.

“Bayaran pencen ini akan dibayar sepanjang hidup balu Allahyarham ataupun sehingga anak-anak mereka mencapai umur 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah sarjana muda pertama sekiranya anak-anaknya melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

“Pihak kami berharap, dengan adanya pencen secara bulanan ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu balu Allahyarham dalam meneruskan kesinambungan hidup selepas kehilangan tempat bergantung apatah lagi balunya adalah suri rumah sepenuh masa ketika ini,” katanya.

Nora berkata, pihaknya juga menasihatkan kepada semua Persatuan Sukan Negeri dan badan-badan sukan negeri agar mencarum jurulatih dan kakitangan mereka kepada Perkeso.

“Kakitangan yang layak dicarum adalah wajib dicarum dengan Perkeso tanpa sebarang alasan, demi menjaga kebajikan kakitangan serta keluarga mereka sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik menimpa mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Naharuddin berkata beliau berterima kasih kepada Perkeso kerana mengambil langkah proaktif dengan menyegerakan untuk menyalurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

“Kehilangan Allahyarham sangat dirasai khususnya buat PBK, kerana beliau amat dikagumi malah beliau pernah berjasa dalam menaikkan nama persatuan disebabkan jasa-jasa beliau.

Pihak PBK juga telah melancarkan tabung bagi meringankan beban balu Allahyarham dan akan disampaikan dalam waktu terdekat,” katanya.

Mohamad Izuan, 35, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini disebabkan pendarahan serebrum. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak yang berumur antara 4 tahun hingga 9 tahun.

Allahyarham Mohamad Izuan sebelum ini tular selepas Jepun muncul Juara Piala Thomas pada 2014 kerana pernah menjadi jurulatih Kento Momota ketika masih remaja.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda