Pengerusi EMGS mengaku tak bersalah tuduhan pecah amanah


shadow

PENGERUSI Education Malaysia Global Services (EMGS) Abdul Rahman Mohamed Shariff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga tuduhan pecah amanah menggunakan dana sebuah yayasan untuk kepentingan dirinya.

Rahman kali pertama didakwa atas kesalahan pecah amanah apabila menggunakan dana Yayasan Pengurusan Ilmu sejumlah RM3,049 bagi pembelian dua kotak cerut pada 13 November, 2018.

Tertuduh yang juga ahli lembaga yayasan berkenaan juga didakwa menggunakan dana berjumlah RM25,000 bagi pembelian barang elektrik untuk syarikat isterinya pada 7 Januari, 2019.

Tertuduh sekali lagi didakwa mengeluarkan dana yayasan itu sejumlah RM150,000 untuk dipindahkan ke akaunnya sendiri pada 23 November, 2019.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam Sallehuddin Saidin manakala pendakwaan dikendalikan oleh Farah Yasmin Salleh.

Hakim turut memerintahkan Rahman melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah pada setiap bulan bermula Februari 2020.

EMG merupakan syarikat yang ditubuhkan pada 2012 bawah Kementerian Pendidikan bagi mempromosi sektor pendidikan bagi pelajar luar negara.

Syarikat itu juga menawarkan perkhidmatan mengurus dan memproses visa dan insurans pelajar luar negara.

Kementerian Pendidikan pada tahun lepas dilaporkan menamatkan kontrak EMGS susulan aduan syarikat itu mengenakan caj RM1,000 bagi setiap pelajar untuk menguruskan visa dan insurans.

Tinggalkan komen anda