Pemancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam sungai


shadow

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai sewaktu memancing bersama dua rakannya di sebatang sungai di Kampung Kemumbong, Sidam Kiri dekat Sungai Petani, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Khairul Rosli, 29, turun berseorangan ke tepi sungai untuk memancing sebelum salah seorang daripada rakannya melihat mangsa terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa tiba di lokasi bersama dua rakannya kira-kira pukul 6.20 petang semalam, kira-kira lima minit kemudian dia dikatakan turun bersendirian manakala dua lagi rakannya berada di atas tebing sungai.

Kemudian rakannya melihat mangsa telah terjatuh ke dalam sungai dan cuba untuk berenang ke tebing sungai namun mangsa tenggelam dan dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa juga telah bertindak membantu menyelamatkan mangsa dengan menghulurkan sebatang buluh namun gagal sebelum menghubungi polis kira-kira pukul 7.20 malam.

Dalam pada itu, Adzli berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini bermula pada pukul 8 pagi tadi yang membabitkan dua pegawai dan 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 16 pegawai dan anggota bomba, serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasukan menyelam bomba membuat carian di sekitar lokasi mangsa terjatuh manakala APM dan PDRM membuat pencarian di kawasan permukaan sungai dan sekitar tebing sungai,” katanya.

Katanya, sehingga pukul 1.30 tengah hari tadi, mangsa yang merupakan pekerja kilang itu belum dijumpai dan operasi SAR masih dijalankan. 

Tinggalkan komen anda