Pemaju projek Taman Rimba Kiara gagal ambil kira pandangan penduduk, kata peguam


shadow

PEMAJU projek kondominium di Taman Rimba Kiara perlu menyediakan laporan penilaian kesan trafik (TIA) kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menjelang pendengaran awam projek itu, bukannya apabila diminta, kata peguam yang mewakili penduduk.

Gurdial Singh berkata walaupun tiada keperluan undang-undang untuk pemaju menyediakan laporan itu, tetapi ia masih perlu dilakukan sebagai sebahagian pertimbangan penting.

“Ini supaya pihak yang membantah cadangan pembangunan itu boleh memberikan pandangan mereka dan kemudian pihak berkuasa (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) boleh membuat keputusan bagaimana untuk meneruskannya,” katanya kepada Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.

Laporan TIA itu hanya diberikan kepada penduduk selepas mereka mula mengambil tindakan undang-undang terhadap projek itu.

“Ia hanya dilakukan selepas mereka (pemaju) meletakkannya dalam afidavit. Ia dikemukakan selepas kita mula menyoal mereka mengenainya.

“Ia (laporan) tidak diberikan kepada pihak pembantah bagi memberi pandangan ketika pendengaran awam. Ia hanya diberikan selepas arahan dibuat,” kata Guardial.

Sekumpulan penduduk TTDI di bawah nama Save Taman Rimba, merayu keputusan sebuah mahkamah rendah menolak semakan kehakiman untuk mencabar kelulusan yang diberikan bagi pembangunan Taman Rimba Kiara.

Projek itu melibatkan pembinaan sembilan blok pangsapuri dengan kerjasama antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Memang Perkasa Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Malton Bhd. 

Tinggalkan komen anda