Parlimen Rusia lulus Mikhael Mishustin jadi perdana menteri


shadow

DEWAN Rakyat Parlimen Rusia, Duma pada Khamis meluluskan Mikhail Mishustin untuk menjadi perdana menteri, lapor agensi berita Xinhua.

Seramai 383 ahli parlimen mengundi memihak kepada pencalonan Mishustin manakala 41 lagi berkecuali.

Berucap di Duma, Mishustin berkata Presiden Vladimir Putin telah mengarahkan kerajaan perlu berada di barisan depan dalam pembangunan negara, memastikan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan baharu, yang mana ia merupakan dasar sosial yang berkesan.

Tanpa kadar pembangunan ekonomi yang tinggi, pembangunan sosial negara akan terhalang, ujarnya sambil menambah bahawa kerajaan baharu perlu menepis halangan yang ada dalam pentadbiran.

Selain itu, penting bagi menambah baik iklim keusahawanan supaya ahli perniagaan, termasuk golongan muda merasa yakin dan selamat untuk mengembangkan perniagaan, paling utama ialah menaikkan gaji pekerja, kata Mishustin.

Terima kasih kepada kestabilan makroekonomi dan lebihan bajet, membolehkan Rusia mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan semua tugas yang digariskan Presiden Putin, katanya.

Mishustin berkata semua anggota kerajaan baharu bertanggungjawab secara peribadi untuk mencapai matlamat pembangunan negara.

Menurut perlembagaan Rusia, selepas persetujuan Duma, Putin perlu melantik secara rasmi Mishustin sebagai perdana menteri.

Dalam tempoh seminggu dari pelantikannya, Mishustin perlu mengemukakan cadangan Putin mengenai struktur kerajaan dan calon untuk jawatan timbalan perdana menteri serta menteri.

Tinggalkan komen anda