Najib mahu SPRM serah rakaman audio


shadow

BEKAS perdana menteri Najib Razak pada Selasa lalu memfailkan permohonan untuk memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan rakaman audio perbualan telefonnya dengan beberapa pegawai kanan kerajaan mengenai 1MDB dan SRC International.

Portal berita FMT melaporkan, Najib dalam afidavitnya menyatakan beliau mahu SPRM mengeluarkan rakaman itu kerana ia penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan SRC International dan 1MDB yang sedang berjalan.

“Terdapat tuduhan serius dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bahawa rakaman audio berkenaan mendedahkan beberapa kesalahan yang mengaitkan saya dalam kes SRC dan 1MDB.

“Dengan pengakuan Latheefa sendiri dalam sidang akhbarnya, salah satu rakaman berkaitan dengan SRC,” kata Najib dalam afidavitnya, seperti yang dilaporkan oleh FMT.

Minggu lalu, SPRM dalam satu sidang media mendedahkan sembilan rakaman audio melibatkan Najib dan beberapa individu lain yang didakwa berkonspirasi mengenai 1MDB dan SRC International.

Rakaman itu melibatkan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, pemimpin Umno Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tengku Mahkota Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan yang didakwa cuba memanipulasi maklumat mengenai 1MDB dan SRC International.

Menurut SPRM, rakaman berkenaan jelas menunjukkan wujud kes salah guna kuasa, konspirasi pengubahan bukti dan kebocoran rahsia negara.

Latheefa bagaimanapun dibidas apabila pengkritiknya menyifatkan pendedahan itu sebagai salah, dan mengintip perbualan telefon seseorang individu itu adalah tidak berperlembagaan.

Mereka berkata, Latheefa sepatutnya mengarahkan pegawainya membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman itu kepada polis.

Terdahulu minggu ini, ketua agensi anti-rasuah itu membuat laporan polis berhubung komplot jenayah untuk menjejaskan reputasinya susulan pendedahan klip audio berkenaan. 

Tinggalkan komen anda