Mujahid, Dong Zong setuju isu Jawi perlu dihentikan


shadow

ISU pembelajaran Jawi perlu dihentikan demi memastikan keharmonian negara terjamin, kata Dr Mujahid Yusof Rawa selepas mengadakan satu pertemuan tertutup dengan Dong Jiao Zong hari ini.

Menteri agama itu berkata beliau dan kumpulan pendidik Cina itu bersetuju dengan lima prinsip utama bagi memastikan isu itu tidak berbangkit lagi.

“Kesemua kami hari ini bersetuju bahawa isu ini sudah mencapai kemuncaknya dan perlu diredakan bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara.”

“Kita bersetuju dengan lima prinsip bahawa isu ini dihentikan supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak tertentu dan Dong Zong bukan anti-Jawi seperti yang dilaporkan media.

“Isu ini hanya melibatkan kaedah pelaksanaan terhadap subjek. Sepatutnya ada penglibatan dan perbincangan yang membina dengan semua pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Mujahid berkata kementeriannya bersetuju bahawa pembelajaran Jawi tidak boleh dilihat sebagai cubaan untuk mengIslamkan bukan Islam.

“Tidak wujud soal Islamisasi. Kami bersetuju bahawa Jawi merupakan sebahagian khazanah negara yang perlu dilindungi. Begitu juga dengan tulisan sanskrip yang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata perkara yang dibincangan dalam pertemuan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang.

“Kementerian saya tiada kuasa membuat keputusan tetapi saya akan menjelaskan kepada Kabinet tentang pertemuan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dong Zong Tan Tai Kim berterima kasih kepada Mujahid dan kementeriannya untuk meluangkan masa.

Beliau mengulangi bahawa isu itu tidak wajar digunakan untuk menyemai kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tinggalkan komen anda