Melaka mula bekalan air berjadual Rabu depan


shadow

MELAKA akan mula melaksanakan bekalan air berjadual secara harian bermula Rabu depan (29 Januari) bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata bekalan air berjadual fasa pertama itu melibatkan 550,673 pengguna domestik meliputi 62.8% dari kawasan negeri Melaka yang mana majoritinya melibatkan penduduk di kawasan Daerah Melaka Tengah.

“Bekalan air berjadual dilaksanakan kerana kekurangan sumber air mentah akibat penurunan paras air di empangan. Bekalan air berjadual kita akan buat secara harian iaitu sehari tiada air, esok ada air. Fasa pertama hanya pengguna domestik tidak libat sekolah, hospital, industri, hotel dan sebagainya.

“Penjadualan bekalan air ini mengambil (kira) kita tidak terima hujan sehingga hujung Mac. Fasa kedua kita buat jika tiada (sumber air) selepas itu. Tetapi jika kita dapat sumber seperti hujan untuk tingkatkan  paras bekalan air maka penjadualan ini akan dikemas kini, atau kembali ke bekalan biasa,” katanya di Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Coffee Break Sempena Tahun Baru Cina 2020 di Ayer Keroh di Melaka dan turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) Zulakmal Sufian.

Adly berkata paras air hari ini di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, ialah pada 38.5%;  Empangan  Jus, Jasin (34.5%) dan Empangan Asahan, Jasin (56.7%).

Sehubungan itu beliau meminta rakyat di negeri ini supaya menggunakan air secara berhemat dan mengambil langkah penjimatan untuk memastikan bekalan air itu mencukupi sehingga musim cuaca panas dan kering pada masa ini berakhir.

“Orang ramai juga diminta membuat persiapan awal untuk menghadapi bekalan air berjadual ini dan menyimpan air untuk keperluan harian. Selain itu semua pihak juga diingatkan supaya tidak melakukan pencemaran atau melepaskan sisa atau air tercemar ke mana-mana sumber air,” katanya.

Ditanya tentang mekanisme penyaluran maklumat secara berkesan kepada rakyat mengenai isu bekalan air itu, Adly berkata 132 pusat sehenti di kawasan bekalan air berjadual akan diwujudkan bagi pengguna mendapatkan maklumat terkini daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta agensi terlibat.

“Antara inisiatif kita buat di semua Dewan Undangan Negeri kita letak pegawai SAMB supaya penduduk boleh berkomunikasi jadi maklumat atau aduan tidak puas hati boleh dijawab secara terus oleh pihak SAMB sendiri, paling penting perkhidmatan kita terbaik untuk rakyat,” katanya.

Tinggalkan komen anda