Media sengaja perbesar isu tanglung, Jawi, kata Dr Mahathir


shadow

DR Mahathir Mohamad berpendapat isu hiasan tanglung dan pengenalan Jawi di sekolah sengaja diperbesar-besarkan oleh media sehingga menimbulkan kontroversi.

Walhal, isu berkenaan tidak perlu diperbesar-besarkan seperti itu, katanya ketika ditanya mengenai pelbagai pandangan yang masih berlegar mengenai isu berkenaan.

“Awak nak cari kita berkelahi Melayu dengan Cina? Awaklah orang (media) yang cucuk selalu, sebab itu lah (timbul kontroversi),” kata beliau sambil tersenyum.

Beliau ditanya mengenai kritikan ke atas tujuh menterinya yang Kabinet yang didakwa tangkas memberi sokongan ke atas sebuah sekolah dalam isu hiasan tanglung.

Kritikan berkenaan antara lain disuarakan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa menteri terbabit hanya berdiam diri dalam apabila muncul kontroversi mengenai pengenalan Jawi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata isu mengenai hiasan tanglung untuk sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong itu juga bukanlah isu perkauman.

“Benda tiada kena mengena dengan perkauman.Tidak tahu kenapa ada yang perlu larang gantung tanglung, (tanglung dipasang) sejak kita merdeka lagi,” jelasnya.

Isu mengenai hiasan tanglung itu dibangkitkan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Beliau mengancam untuk menyaman sekolah di Puchong kerana didakwa bertindak keterlaluan menghias sekolah itu sehingga membangkitkan kemarahan ibu bapa pelajar Islam.

Dakwaan itu mendapat mendapat perhatian sejumlah menteri diketuai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tampil untuk mempertahankan sekolah itu.

Antara menteri lain yang hadir termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng,  Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Agama Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Sumber Asli, Tanah dan Air Dr Xavier Jeyakumar.

Dalam kritikannya hari ini, Asri berkata barisan menteri Kabinet tidak bersungguh-sungguh mempertahan Jawi yang dibantah Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

Katanya tidak ramai menteri yang berani tampil membuat kenyataan bagi membetulkan keadaan atau berkata kepada pihak terbabit bahawa tidak ia patut berbuat demikian.

“Tak ada pula menteri pergi (beritahu) bahawa Jawi juga untuk perpaduan,” katanya.

Tinggalkan komen anda