MAS ambil langkah pencegahan, elak penyebaran virus koronavirus dalam pesawat


shadow

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) menyokong penuh langkah yang diambil pihak berkuasa kesihatan antarabangsa dan tempatan dalam berhadapan dengan risiko penyebaran wabak koronavirus China.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan menyatakan sudah mengambil langkah mengikuti semua prosedur mengendalikan penumpang seperti yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) terutama ketika berinteraksi dengan mereka yang berpotensi dijangkiti penyakit itu.

“Syarikat kami juga mengambil langkah kawalan tertentu untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit dalam penerbangan.

“Langkah itu termasuk pemeriksaan pra-pelepasan terhadap pelancong terutama mereka yang kurang sihat, menyediakan kit penyakit berjangkit dan ubat-ubatan dalam setiap pesawat sebagai persediaan berhadapan dengan penumpang yang sakit,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan meningkatkan langkah pencegahan, terutama di pintu masuk berikutan penyebaran wabak radang paru-paru (pneumonia) di Wuhan, China.,

Malaysia dijangka menerima kehadiran 30 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan jumlah pelancong China dijangka bertambah dengan pelepasan visa 15 hari yang diberikan kerajaan, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan satu virus baharu daripada kumpulan virus sama yang mencetuskan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dikesan tersebar di luar sempadan China buat kali pertama dengan satu kes muncul di Thailand, minggu lalu.

Laporan memetik doktor Thailand yang mengesan seorang pelancong China dengan pneumonia ringan, sebelum disahkan berpunca daripada koronavirus baharu yang dikesan di China.

Tinggalkan komen anda