Lim: Turun kadar tol jambatan kedua P Pinang dijangka rancakkan ekonomi setempat


shadow

Penurunan kadar tol untuk kategori kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) daripada RM8.50 kepada RM7.00 dijangka dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kadar tol di JSAHMS untuk kereta persendirian telah diseragamkan dengan Jambatan Pulau Pinang bagi menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan jambatan kedua itu.

“Langkah untuk merasionalisasi kadar tol jambatan kedua supaya kita dapat seimbangkan aliran trafik. Ini kerana biasanya kalau kadar tol untuk jambatan kedua lebih tinggi daripada jambatan pertama, maka lebih ramai akan cenderung untuk guna jambatan pertama,” katanya selepas mengadakan tinjauan hari pertama penurunan kadar tol di JSAHMS, hari ini.

Penurunan itu, katanya, akan turut membawa manfaat sampingan iaitu membawa pertumbuhan ekonomi di kawasan Batu Maung dan Batu Kawan yang kadar pembangunan di kedua-dua kawasan itu masih rendah.Iklan

Beliau berharap dengan penurunan kadar tol itu, lebih ramai pengguna akan menggunakan jambatan kedua yang akan dapat mengurangkan kesesakan di jambatan pertama.

“Tujuan jambatan kedua ini dibina adalah untuk mengurangkan kesesakan di jambatan pertama…jadi dengan pengurangan kadar tol ini, kami menjangka pengguna jambatan kedua akan bertambah tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Hussin Mohammad berkata jumlah pengguna jambatan secara keseluruhan semakin bertambah dari hari pelancarannya pada 2014.

Beliau berkata jambatan kedua mencatatkan 9.7 juta pengguna pada 2018 manakala tahun lepas sehingga pertengahan November, seramai 9.5 juta pengguna telah direkodkan.

“Kami menjangkakan dengan pengurangan kadar tol untuk kenderaan persendirian, jumlah pengguna jambatan kedua tahun ini akan meningkat melebihi 10 juta,” katanya.

JSAHMS, sepanjang 24 kilometer, yang mula beroperasi pada 1 Mac, 2014, merupakan antara jambatan terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan kawasan Batu Kawan di bahagian Seberang Prai dengan Batu Maung di bahagian pulau.

– Bernama

Tinggalkan komen anda