Lelaki bersenjata bunuh 14 penduduk kampung di utara Nigeria


shadow

ABUJA (Nigeria): Sekurang-kurangnya 14 orang telah dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menceroboh sebuah kampung di negeri Zamfara di utara Nigeria, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap polis.

Sebilangan lagi yang tidak diketahui jumlahnya turut cedera dalam serangan di Kampung Babban Rafi yang terletak dalam kawasan kerajaan tempatan Gummi, kata Mohammed Shehu, jurucakap bagi polis negeri Zamfara.

Lelaki bersenjata terbabit, yang tidak diketahui motifnya, dipercayai telah menceroboh kawasan itu melalui negeri jiran Kebbi yang terletak di barat laut Nigeria.

Sumber tempatan berkata kumpulan itu menaiki lebih 40 motosikal dan melepaskan tembakan rambang ke arah sesiapa sahaja yang mereka nampak.

Haiwan ternakan dan beberapa barangan berharga milik penduduk kampung turut dilarikan oleh kumpulan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda