Legasi Maszlee tidak akan dilupakan, kata Wan Saiful


shadow

LEGASI Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan tidak akan dilupakan, kata Wan Saiful Wan Jan hari ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu juga berkata, tugas dan tanggungjawab Maszlee tidak mudah dan sangat mencabar.

Beliau turut berterima kasih kepada rakan partinya itu atas khidmatnya sebagai menteri pendidikan sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2019.

PTPTN merupakan salah satu agensi di bawah kementerian berkenaan.

“Dr Maszlee Malik baru sahaja mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia. Tanggungjawab besar itu adalah suatu amanah yang amat mencabar untuk sesiapa jua yang memegangnya.

“Saya yakin legasi beliau sebagai Menteri Pendidikan tidak akan dilupakan.

“Terima kasih Dr Maszlee atas segala jasamu,” kata Wan Saiful yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya petang ini, menyebut tiga isu yang menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan kepada kerajaan PH.

Tiga isu itu ialah pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan, pembekalan kemudahan Internet di sekolah dan program sarapan percuma.

Maszlee, 45, sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Putrajaya untuk memaklumkan keputusannya berundur dari kabinet. Dr Mahathir merupakan pengerusi Bersatu.

Maszlee juga enggan menjawab soalan media berhubung “sebab utama” peletakan jawatannya.

“Saya percaya kepimpinan perdana menteri sebagai seorang negarawan yang unggul, mempunyai pandangan yang jauh, beliau lebih memahami apa yang terbaik untuk negara.

“Saya akan terus berkhidmat kepada negara walau apa juga kedudukan saya selepas ini,” katanya pada sidang media khas peletakkan jawatan beliau di Putrajaya hari ini.

Maszlee merupakan menteri pertama yang meletakan jawatan di bawah kerajaan Pakatan. 

Tinggalkan komen anda