KETUA agensi antirasuah Latheefa Koya berkata beliau masih menanti notis prosiding hina mahkamah berhubung pendedahan rakaman audio membabitkan kes rasuah Najib Razak.
“Saya akan tunggu notis itu, mereka perlu hantar notis kepada saya,” kata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu ketika ditanya pemberita hari ini.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah semalam mengumumkan notis itu difailkan kerana mendakwa tindakan Latheefa itu subjudis dan menghina mahkamah.
Sembilan rakaman yang didedahkan Latheefa dalam sidang media minggu lalu antara lain menunjukkan cubaan Najib berkonspirasi dengan beberapa individu menutup skandal 1MDB.
Ia memaparkan beberapa individu bercakap mengenai kes 1MDB dan turut mengaitkan kes Najib dan anak tirinya Riza Aziz, selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memulakan siasatan pengubahan wang haram pada 2016.
Perbualan itu dipercayai berlaku antara Januari dan Julai, 2016. Menurut Latheefa, rakaman berkenaan dihantar oleh sumber yang tidak diketahui selepas tahun baharu.
Pendedahan itu didakwa menyebabkan Latheefa menerima tohmahan di media sosial oleh individu tertentu, termasuk peguam, yang diadukannya kepada polis hari ini.
Laporan polis itu dibuat Pegawai Khas Undang-Undang Kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shasha Lyna Abdul Latif, pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Tinggalkan komen anda