Langkah tambahan diambil kurangkan risiko penularan koronavirus, kata MAHB


shadow

MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil langkah tambahan di lapangan terbang bagi mengurangkan risiko penularan koronavirus, terutama kepada penumpang dan kakitangannya.

Menurut syarikat berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan agensi berkaitan dan syarikat penerbangan untuk membuat saringan terhadap penumpang antarabangsa di lapangan terbang seluruh negara berikutan penularan wabak  2019-nCoV atau 2019 Novel Koronavirus.

“Salah satu langkah yang diambil Kementerian Kesihatan dan disokong oleh Malaysia Airports adalah menjalankan imbasan terma bagi penumpang dan kru pesawat yang tiba dari China.

“Kami telah sediakan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di balai ketibaan bagi membantu penumpang yang mempunyai simptom virus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia Airports juga telah menukar pintu ketibaan masu dari China lebih hampir ke ruang perubatan untuk mempercepatkan prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai.

“Syarikat penerbangan akan membuat pengumuman yang perlu kepada penumpang dan mengedarkan kad HAC yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan kepada penumpang untuk mengisytiharkan keadaan kesihatan terkini mereka.

“Mereka yang mengalami demam, batuk dan sukar bernafas akan dikejarkan ke hospital berdekatan sebaik tiba di balai ketibaan.

“Kad HAC turut diedarkan di kaunter imigresen.”

Menurutnya, topeng muka dan sanitiser tutu dibekalkan kepada kakitangan dan diletakkan di tempat strategik di seluruh lapangan terbang.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly mengesahkan tiga kes koronavirus di Malaysia.

Menurutnya tiga mangsa terbabit adalah warga China yang masuk ke negara ini melalui Johor Bahru dan kini diraawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, ketiga-tiga mangsa terbabit berada dalam keadaan stabil.

Wabak berkenaan yang tercetus di China telah meragut 41 nyawa dan kini tersebar ke beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Australia.

Di China sahaja, sebanyak 1,300 kes wabak berkenaan direkodkan.

Tinggalkan komen anda