Kerjasama dengan Pakatan tidak jejas perjuangan Warisan


shadow

KERJASAMA Warisan dengan Pakatan Harapan (PH) tidak menjejaskan perjuangan parti tempatan Sabah itu dalam mempertahan dan memperjuangkan hak negeri ini.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata walaupun Warisan tidak menyertai gabungan dalam PH, hubungan antara kedua-dua parti berkenaan baik, sama ada di peringkat negeri dan persekutuan.

“Menerusi kerjasama itu, kami (wakil rakyat Warisan) ada dilantik dalam Kabinet persekutuan dan kami juga melantik mereka (wakil rakyat PH) dalam Kabinet negeri,” katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi Warisan di Kampung Simpangan di Kimanis, hari ini.

Tiga wakil rakyat Warisan dilantik sebagai menteri dalam Kabinet persekutuan ialah Darrel Leiking sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri; Mohamaddin Ketapi (menteri pelancongan, seni dan budaya) dan Liew Vui Keong (menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Shafie yang juga ketua menteri Sabah berkata hak penduduk negeri ini akan terus menjadi keutamaan dalam perjuangan Warisan, termasuk dalam soal pembangunan yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sabah ditubuhkan berasaskan kepada pelbagai kaum sejajar dengan kepelbagaian penduduk di negeri ini.

Shafie berkata perkara itu dapat dilihat menerusi lantikan dalam kalangan tiga timbalannya yang mewakili kaum di negeri ini.

Katanya, Christina Liew mewakili kaum Cina; Madius Tangau daripada kaum Kadazan Dusun Murut manakala Jaujan Sambakong mewakili Bumiputera Islam di Sabah.

“Lantikan ahli dalam Kabinet negeri adalah seimbang dengan mewakili pelbagai kaum di negeri ini,” katanya. 

Tinggalkan komen anda