Keputusan Petronas mohon pesuruhjaya kehakiman tarik diri 23 Januari


shadow

PERMOHONAN Petronas supaya pesuruhjaya kehakiman yang mendengar kes saman kerajaan negeri Sarawak terhadap syarikat minyak nasional itu menarik diri akan diputuskan pada 23 Januari ini.

Saman yang difailkan berkenaan kegagalan Petronas membayar cukai jualan negeri (SST) ke atas produk petroleum bernilai RM1.3 bilion.

Peguam mewakili Petronas berhujah bahawa keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin Soo Yin untuk mendengar kes saman tersebut mungkin menjejaskan kenaikan pangkatnya kepada hakim Mahkamah Tinggi.

Selepas permohonan tersebut didengar di kamar hakim, Peguam Besar Sarawak Talat Mahmood memberitahu pemberita Petronas berhujah bahawa Chin mungkin bimbang tentang pengesahan kenaikan pangkatnya sebagai hakim Mahkamah Tinggi sekiranya keputusan kes saman memihak kepada kerajaan negeri.

“Sebagai seorang JC (pesuruhajaya kehakiman), pengesahan pangkatnya sebagai hakim sangat bergantung kepada atas nasihat perdana menteri.

“Sekiranya keputusan beliau kelak memihak kepada Petronas, beliau mungkin akan dinaikkan pangkat, jika tidak, tidaklah,” kata Talat kepada pemberita ketika ditanya asas permohonan yang dikemukakan oleh Petronas.

Hujah Petronas itu tidak dipersetujui kerajaan negeri kata Talat, kerana sekiranya perkara ini berlaku kepada situasi Pesuruhjaya Kehakiman Chin, maka ia juga harus terpakai kepada semua hakim lain.

“Perkara ini juga harus diguna pakai kepada hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana pengesahan mereka semua juga bergantung atas nasihat perdana menteri,” katanya.

Tinggalkan komen anda