Kementerian bekerjasama dengan NGO hasilkan video pendidikan seks, kata Yeoh


shadow

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform dalam talian pada tahun ini.

Timbalan Menteri Hannah Yeoh berkata kerajaan percaya dengan penggunaan platform itu, ia dapat mendidik golongan muda, selain mendedahkan mereka cara yang betul untuk mendapatkan bantuan seandainya menjadi mangsa dalam jenayah seksual kanak-kanak.

“Kita akan bekerjasama dalam membangunkan kandungan bukan sahaja untuk kanak-kanak berusia 0  hingga 6 tahun, tetapi remaja juga.

“Perkara paling penting dalam penghasilan video seumpama ini ialah penyampaian maklumat serta bantuan kepada golongan kanak-kanak yang menjadi mangsa atau memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-70 World Vision Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.

Pada 24 Jun tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform YouTube sebagai usaha kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

Video berdurasi satu minit bagi setiap siri itu merupakan usaha kementerian dengan kerjasama NGO, Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube.

Yeoh menambah sehingga Disember lepas, kelima-lima video berkenaan telah mencecah empat juta tontonan.

Sementara itu, dalam ucapannya Yeoh menyatakan sokongannya terhadap misi World Vision dalam memastikan kanak-kanak dijaga, dilindungi, dididik dan mempunyai peluang untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

“Saya percaya jika semua orang bersatu dan menyokong antara satu sama lain, impian untuk membantu setiap kanak-kanak hidup dengan gembira menjadi realiti,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia Daniel Boey dan pendukung World Vision Malaysia; Deborah Henry, Owen Yap, Phoebe Yap dan Freda Liu.

Tinggalkan komen anda