Kasut hitam bukan isu di Kementerian Pendidikan, kata Dr Mahathir


shadow

PELAKSANAAN pemakaian kasut hitam untuk murid di sekolah, yang diperkenalkan oleh bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini, tidak akan disentuh, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
 
Beliau yang memangku tugas menteri pendidikan berkata ada banyak perkara lain tentang di kementerian itu yang kini sedang beliau teliti untuk perancangan masa depan, dan kasut hitam itu bukan satu daripadanya.
 
Jelas Dr Mahathir, beliau dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahman, yang juga baru dilantik, sedang meneliti beberapa maklumat yang diberikan kepada mereka.
 
“Saya ada satu mesyuarat yang panjang semalam. Saya masih mengkaji, saya tengah keliru kerana terlalu banyak maklumat diberikan kepada saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.
 
Secara berseloroh Dr Mahathir berkata murid sekolah bebas untuk pakai kasut apa saja ke sekolah.
 
Minggu ini, tular satu pekeliling Kementerian Pendidikan yang diedarkan ke sekolah meminta satu bancian mengenai pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking hitam di sekolah.
 
Bancian itu dibuat bagi mengetahui jumlah pecahan murid yang beralih daripada kasut putih, setahun selepas ia diperkenalkan secara berperingkat pada sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan mulai tahun ini.
 
Dr Mahathir memangku jawatan menteri pendidikan selepas Maszlee letak jawatan pada 3 Januari lalu.
 
Pengenalan pemakaian kasut hitam di sekolah mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat. Kebanyakan ibu bapa menyokongnya kerana memudahkan urusan mereka dan anak-anak, namun ia juga oleh pihak yang lain sebagai remeh.
 
Isu kasut hitam itu membayangi kepimpinan Maszlee di kementerian selama lebih kurang 20 bulan.

Tinggalkan komen anda