Kasihnya ibu…


shadow

SEORANG ibu tunggal sanggup meminjam RM2,000 semata-mata mahu membeli komputer riba anak tunggalnya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal yang hilang akibat dicuri.

Ibu tunggal terbabit, Ummi Kalsom Md Said, 50, berkata dia sanggup membayar ansuran RM100 setiap bulan kepada rakannya bagi memastikan pelajaran anaknya tidak terjejas.

Katanya, dia bersyukur ada rakan sudi meminjamkan wang berkenaan bagi membolehkannya membeli komputer baru di Masjid Tanah, hari ini bagi menggantikan yang hilang terbabit.

“Pencuri terbabit memasuki rumah kami di Taman Lendu Bakti ,Alor Gajah, tiga hari lalu dan melarikan komputer riba serta telefon bimbit anak saya, Muhammad Issqandar Abdullah.

“Lebih mengharukan akibat sayang komputernya dia berusaha mengejar pencuri terbabit menggunakan motosikal roda tiga OKU sejauh kira-kira 1 kilometer, namun gagal,” katanya.

Dia jelas bersedih dengan kejadian menimpa anaknya itu dan amat berharap komputer yang hilang terbabit dikembalikan pencuri berkenaan.

Issqandar pula berkata, dia menyedari komputer ribanya dilarikan pencuri yang menceroboh rumahnya sebaik selesai mandi pada 4 petang.

Katanya, dengan hanya berseluar pendek dan menyarung baju sekolah, dia mengejar sehingga di pekan Lendu namun pencuri bermotosikal itu memecut laju di persimpangan menuju Masjid Tanah menyebabkan dia pulang hampa.

“Saya sedih kerana dalam komputer riba itu terdapat kertas kerja kursus untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang perlu dihantar tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, saya bersyukur berikutan masih mampu menyediakan semula kerja kursus mula dilaksanakan Jun 2019 terbabit selepas ibu membelikan komputer riba baru.

“Saya amat terharu dengan pengorbanan ibu dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh membela nasib diri dan ibu,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda