Kamal Salih letak jawatan LPU Unimas


shadow

DR Kamal Mat Salih melepaskan jawatan pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), tidak sampai seminggu dilantik, selepas pelantikannya mencetuskan kontroversi antara Putrajaya dan Sarawak.

Katanya, tiada sebab lagi untuk beliau memegang jawatan itu selepas kerajaan Sarawak membayangkan mahu anak tempatan menerajui universiti itu.

Kamal mengesahkan kepada The Malaysian Insight beliau letak jawatan bagi memberi ruang kepada bakal menteri pendidikan yang baharu untuk melantik seorang rakyat Sarawak ke jawatan itu.

Katanya, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan petang ini.

“Mereka mahukan seorang anak kelahiran Sarawak. Jadi tiada sebab saya memegang jawatan itu yang lebih baik dipegang oleh orang lain.

“Surat (peletakan jawatan) secara rasmi petang ini. Saya akan hantar ke pejabat ketua pengarah pendidikan tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kamal sebelum itu menulis di Facebook mengumumkan beliau melepaskan jawatan itu “demi kepentingan Unimas”.

Kamal, bekas pengerusi Intitut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), dilantik menggantikan Sulong Matjeraie, tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Media di Sarawak melaporkan tempoh jawatan Sulong yang sepatutnya berakhir pada 30 April 2021 dipendekkan setakat 20 Disember lepas.

Pada Jumaat lalu, pejabat Ketua Menteri Sarawak mengeluarkan kenyataan meminta Putrajaya memberi penjelasan berhubung pelantikan Kamal yang tidak dirujuk dengan kerajaan negeri.

“Biasanya, pelantikan pengerusi Lembaga Unimas dibuat selepas berunding dengan kerajaan negeri. Namun amat dikesali kerana pada kali ini, kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara rasmi sebelum pelantikan diumumkan,” kata kenyataan itu.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak juga menjelaskan semua pengerusi lembaga pengarah Unimas sebelum ini dilantik selepas rundingan dengan kerajaan negeri, dan semua mereka rakyat Sarawak.

Sebelum Sulong, pengerusi LPU Unimas yang lain ialah Bujang Mohd Nor dan Hatta Solhi.

Kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak itu dikeluarkan sehari selepas Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan.

Kamal, 74, bekas ahli parlimen Wangsa Maju (1995-1999), pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah, dekan dan naib canselor.

Beliau adalah juga tokoh ekonomi yang disegani, yang selalu dirujuk dalam proses penyusunan dasar kerajaan.

Kamal pernah menganggotai Panel Ekonomi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad antara 1981 hingga 1986. Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Perniagaan Malaysia (1991-1996) dan Ketua Pelapor Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan (1989-1991).

Beliau adalah juga pengasas International Medical College, yang kini dikenali sebagai International Medical University.

Selepas bersara dari IMU pada 2004, Kamal berkhidmat sebagai penasihat ekonomi dalam pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi (2006-2008).

Tinggalkan komen anda